Faraid – Undang-Undang Warisan Islam

Faraid – Undang-Undang Warisan Islam

Artikel ini membincangkan undang-undang warisan Islam atau Faraid yang secara amnya digunapakai untuk aset-aset seorang Muslim yang telah meninggal dunia. Pengecualian terhadap kebolehgunaan umum Faraid juga dibincangkan.

Seksyen 112 Administration of Muslim Law Act (Cap. 3) (AMLA) memperuntukkan bahawa aset-aset seorang Muslim yang telah meninggal dunia yang berdomisil di Singapura pada masa kematiannya hendaklah diagihkan mengikut undang Islam dan (di mana terpakai) adat Melayu.

Undang-undang Islam yang menentukan cara dan susunan pengagihan aset-aset seorang Muslim yang telah meninggal dunia dikenali sebagai Faraid. Prinsip-prinsip Faraid didapati di dalam Kitab Suci Al-Quran dan juga boleh diceduk dari sunnah dan hadith Nabi (saw) dan pendapat majoriti para ulama Islam. Faraid secara amnya digunakan untuk aset-aset seorang Muslim yang telah meninggal dunia yang tidak diberikan di bawah Wasiat simati dan yang tidak termasuk dalam golongan mana-mana “aset-aset terkecuali” yang disenaraikan di bawah.

Wasiat Muslim

Seksyen 111 AMLA membenarkan seorang Muslim untuk membuat Wasiat untuk melupuskan asetnya selepas kematiannya. Walau bagaimanapun, Wasiat seorang Muslim mesti mematuhi syarat-syarat dan tertakluk kepada sekatan yang dikenakan oleh mazhab yang diikutinya. Wasiat Muslim dibincangkan dengan lebih terperinci dalam satu artikel berasingan.

Aset-aset yang dikecualikan dari Faraid

Umumnya, terdapat 5 jenis aset seorang Muslim yang dikecualikan dari pengagihan mengikut Faraid:

(a) Hartanah yang dimiliki secara pemilikan bersama (joint tenancy)

Hartanah yang dimiliki oleh seorang Muslim yang telah meninggal dunia secara pemilikan bersama (atau joint tenancy) dengan orang lain akan dimiliki oleh pemilik bersama yang masih hidup. Bahagian simati dalam hartanah tersebut tidak diagihkan kepada warisnya mengikut hukum Faraid. Ini berdasarkan ketetapan mahkamah sivil Singapura dan juga Majlis Ugama Islam Singapura dalam Fatwa terkininya (2019):  https://www.muis.gov.sg/officeofthemufti/Fatwa/English-Joint-Tenancy.

(b) Wang CPF yang dicalonkan

Sekiranya seorang Muslim yang telah meninggal dunia telah mencalonkan seorang penama atau beberapa penama untuk menerima wang CPF selepas kematiannya, penama atau penama-penama tersebut akan menerima jumlah yang dinamakan. Jumlah yang dicalonkan dari wang CPF simati tadi tidak akan diagihkan kepada waris Faraidnya.

(c) Manfaat/pembayaran polisi insurans nyawa yang dicalonkan

Sekiranya seorang Muslim yang telah meninggal dunia telah mencalonkan seorang penama atau beberapa penama untuk menerima manfaat/pembayaran polisi insuransnya selepas kematiannya, penama atau penama-penama tersebut berhak menerima manfaat/pembayaran polisi tersebut. Manfaat polisi/pembayaran di bawah polisi insurans simati yang telah dicalonkan tidak diagihkan kepada waris beliau di bawah Faraid. MUIS telah mengeluarkan satu fatwa bahawa pencalonan polisi insurans yang boleh dibatalkan adalah dibenarkan di bawah undang-undang Islam: https://www.muis.gov.sg/officeofthemufti/Fatwa/English-Revocable-Insurance-Nomination.

(d) Harta sepencarian

Di bawah Seksyen 112(3) AMLA, mahkamah boleh membuat suatu perintah untuk membahagikan aset-aset yang berupa harta sepencarian atau aset-aset yang telah diperolehi bersama oleh seorang Muslim yang telah meninggal dunia dan pasangannya mengikut kadar yang mahkamah fikirkan sesuai. Konsep harta sepencarian berasal dari adat Melayu. Dari sudut praktiknya, permohonan untuk perintah pembahagian harta sepencarian seorang Muslim yang telah meninggal dunia jarang dibuat. Harta sepencarian simati yang menjadi subjek perintah mahkamah yang dibuat di bawah Seksyen 112(3) AMLA tidak diagihkan kepada waris simati di bawah Faraid.

(e) Aset-aset yang diberikan di bawah wasiat

Aset-aset yang telah diberikan melaui wasiat seorang Muslim yang telah meninggal dunia tidak akan diagihkan kepada waris Faraidnya.

Siapakah pewaris seorang Muslim di bawah Faraid?

(a) Waris lelaki terdiri daripada simati:

  • Anak lelaki
  • Bapa
  • Datuk (bapa kepada bapa)
  • Suami
  • Saudara lelaki
  • Bapa saudara (saudara lelaki kepada bapa)
  • Anak lelaki dari anak lelaki
  • Anak saudara lelaki dari saudara sebapa
  • Bapa saudara (saudara lelaki sebapa kepada bapa)
  • Sepupu lelaki
  • Saudara lelaki sebapa
  • Sepupu lelaki dari saudara sebapa kepada bapa
  • Saudara seibu
  • Anak saudara lelaki dari saudara lelaki

(b)  Waris perempuan terdiri daripada simati:

  • Anak perempuan
  • Ibu
  • Ibu kepada Ibu
  • Ibu kepada Bapa
  • Saudara perempuan
  • Saudara perempuan sebapa
  • Anak perempuan dari anak lelaki
  • Saudara perempuan seibu
  • Isteri

‘Saudara sebapa’ adalah saudara dari bapa yang sama tetapi ibu yang berbeza.

‘Saudara seibu’ adalah saudara dari ibu yang sama tetapi bapa yang berbeza.

Pengiraan bahagian-bahagian Faraid

Pengiraan bahagian waris di bawah Faraid adalah rumit. Anda dinasihatkan untuk menggunakan calculator warisan di laman web: https://www.syariahcourt.gov.sg/Syariah/front-end/TrialCal_ Redirect.aspx.

Updated: 22.4.2020

Call Now Button
× How can I help you?