Mengapa Anda Tidak Boleh Abaikan Faraid

Mengapa Anda Tidak Boleh Abaikan Faraid

Artikel ini membincangkan hukum warisan Islam atau Faraid, penggunaannya di Singapura dan akibat jika tidak mematuhinya.

Di Singapura, setiap Muslim dikehendaki mematuhi hukum Islam atau Syariah dalam perkara-perkara peribadi seperti perkahwinan, perceraian dan warisan. Peraturan-peraturan yang terpakai untuk orang Islam dalam perkara-perkara ini adalah sangat berbeza dari yang terpakai untuk orang bukan Islam.

Mengenai isu warisan, undang-undang Islam yang menentukan cara dan susunan (tertib) pengagihan aset-aset seorang Muslim yang telah meninggal dunia dikenali sebagai Faraid. Prinsip-prinsip Faraid boleh didapati di dalam kitab suci Al-Quran, dari sunnah dan hadith Nabi (saw) dan dari pendapat majoriti ulama Islam. Faraid secara amnya digunapakai untuk semua aset-aset seorang Muslim yang telah meninggal dunia, kecuali aset-aset yang telah diberikan oleh si mati di bawah wasiatnya dan aset-aset lain yang tertentu yang “terkecuali”.

Penggunaan Faraid Bagi Orang Muslim Di Singapura

Di bawah undang-undang Singapura, Seksyen 112 Administration of Muslim Law Act (Cap. 3) (AMLA) memperuntukkan bahawa aset-aset seorang Muslim yang telah meninggal dunia yang bermastautin di Singapura pada masa kematiannya hendaklah diagihkan selaras dengan undang-undang Islam dan (jika terpakai) adat Melayu.

Di bawah undang-undang Islam, setiap Muslim diwajibkan mematuhi dan mengikuti perintah-perintah Tuhan (swt) tanpa pengecualian. Peraturan-peraturan utama Faraid boleh didapati di dalam Kitab Suci Al-Quran. Dari masa ke masa, beberapa peraturan ini telah diperjelaskan dan diperhalusi melalui hadith dan sunnah Nabi (saw) dan juga pendapat majoriti ulama Islam. Peraturan-peraturan Faraid memastikan bahawa aset-aset seorang Muslim yang telah meninggal dunia diagihkan di kalangan waris beliau secara adil dan saksama. Adalah dilarang (haram) bagi seorang Muslim untuk tidak mematuhi atau mengabaikan Faraid.

Aset-Aset Seorang Yang Meninggal Dunia Yang Tertakluk Kepada Faraid

Secara amnya, semua aset-aset seorang Muslim yang telah meninggal dunia, dalam apa jua bentuk, tertakluk kepada Faraid, termasuk wang tunai, barang kemas, tanah, saham, stok, bon, kenderaan, dan sebagainya. Walau bagaimanapun, sesetengah jenis aset, contohnya hartanah yang dimiliki di bawah kepunaan bersama (joint tenancy) atau aset yang telah diberikan melalui wasiat si mati dikecualikan daripada pengagihan mengikut Faraid.

Tambahan pula, Faraid tidak perlu diikuti jika semua waris si mati bersetuju untuk mengagihkan aset-asetnya dengan cara yang tertentu, sebagai contoh, dibagi sama rata kepada semua waris.

Akibat Undang-Undang Melanggar Faraid

Memandangkan pematuhan kepada Faraid adalah mandatori atau wajib di bawah undang-undang Singapura, tindakan undang-undang boleh diambil terhadap Pentadbir harta pusaka si mati (Administrator) atau sesiapa pun yang telah bercampur tangan dan melupuskan harta peninggalan si mati dengan melanggar peraturan Faraid. Saman sivil boleh dibawa tehadap mereka yang berkenaan. Dalam sesetengah kes, si Pentadbir atau orang yang bertanggung jawab tadi mungkin juga menghadapi pendakwaan jenayah.

Seterusnya, jika seorang Muslim yang telah meninggal dunia ada, dalam masa hayat beliau, membuat dokumen wasiat yang mempunyai kesan melanggar hukum Faraid atau yang bertujuan untuk mengelakkan penggunaan peraturan-peraturan Faraid untuk aset-aset beliau apabila beliau meninggal dunia, maka dokumen tadi boleh diisytiharkan tidak sah oleh  Mahkamah: lihat kes Mohamed Ismail Bin Ibrahim v Mohd Taha Bin Ibrahim [2004] 4 SLR 756; [2004] SGHC 210.

Adakah Ada Mana-Mana Situasi Lain Di Mana Faraid Tidak Digunapakai?

Faraid hanya terpakai kepada aset-aset seorang Muslim dan untuk waris si mati yang beragama Islam pada masa kematian si mati. Oleh itu, Faraid tidak terpakai kepada aset-aset seorang yang telah meninggalkan agama Islam semasa hayatnya dan yang telah meninggal dunia sebagai seorang yang bukan Islam. Begitu juga, waris seorang Muslim tidak boleh mewarisi dari si mati di bawah Faraid jika si waris tadi telah meninggalkan Islam dan bukan seorang Muslim pada masa kematian si mati. Tidak ada hak warisan di bawah Faraid antara seorang Muslim dan bukan Muslim.

Updated: 6.5.2020

Call Now Button
× How can I help you?