Penjagaan Anak Di Prosiding Perceraian Mahkamah Syariah

Penjagaan Anak Di Prosiding Perceraian Mahkamah Syariah

Artikel ini membincangkan undang-undang Islam yang berhubungan dengan isu penjagaan anak dalam prosiding perceraian dan juga pendekatan yang diambil oleh Mahkamah Syariah dalam menentukan isu tersebut.

Mahkamah Syariah Singapura diberi kuasa oleh undang-undang untuk mendengar dan membuat keputusan dalam semua prosiding perceraian di Singapura di antara pasangan suami-isteri Muslim dan di mana pasangan tadi telah berkahwin mengikut hukum Islam: Seksyen 35(2) Administration of Muslim Law Act (AMLA). Selanjutnya, salah seorang dari pasangan itu diwajibkan berdomisil di Singapura pada masa prosiding perceraian dimulakan, atau secara lazim telah bermastautin di Singapura untuk tempoh sekurang-kurangnya 3 tahun sebelum prosiding perceraian dimulakan: Seksyen 35(2)(A) AMLA.

Dalam kebanyakan prosiding perceraian, salah satu daripada beberapa isu yang mana Mahkamah mesti membuat keputusan adalah isu penjagaan anak yang berusia bawah 21 tahun: Seksyen 52(3)(c) AMLA. Mahkamah tidak membuat apa-apa keputusan mengenai penjagaan anak yang berusia 21 tahun ke atas. Seorang anak yang telah diambil sebagai anak angkat secara rasmi oleh pasangan suami-isteri yang bercerai dianggap sebagai anak perkahwinan pasangan itu.

Undang-Undang Islam Mengenai Penjagaan Kanak-Kanak

Di bawah undang-undang Islam, ada beberapa peraturan khusus bagi menentukan penjagaan seorang anak apabila ibu dan bapa anak itu bercerai (hukum hadhanah). Satu dari peraturan tersebut adalah: seorang anak di bawah umur 7 tahun biasanya akan diletakkan di dalam penjagaan ibunya, manakala seorang anak yang lebih dewasa akan ditanya bersama siapa dia ingin tinggal setelah ibu dan bapanya bercerai. Satu lagi peraturan adalah: seorang ibu akan kehilangan hak penjagaan anaknya sebaik sahaja ibu tadi berkahwin semula.

Terdapat banyak lagi peraturan sebegini, tetapi semua peraturan ini tertakluk kepada pertimbangan utama kebajikan dan kepentingan terbaik anak itu. Jadi, sebagai contoh, Mahkamah mungkin tidak akan menghiraukan keinginan seorang anak berumur 12 tahun untuk tinggal bersama ibunya jika, dalam keadaan kes itu, Mahkamah merasakan bahawa kebajikan dan kepentingan terbaik anak itu akan lebih terpelihara jika dia sebaliknya diletakkan di bawah penjagaan bapanya.  Atau apabila dipertimbangkan kebajikan dan kepentingan terbaik seorang anak, Mahkamah boleh membenarkan anak tersebut untuk terus tinggal bersama ibunya walaupun ibu tadi telah berkahwin semula.

Memandangkan pertimbangan utama ialah kebajikan dan kepentingan terbaik anak, keinginan ibu atau bapa anak itu mengambil ‘tempat kedua’.

Di bawah undang-undang Islam, “kebajikan” anak melangkaui kebajikan material atau fizikal dan termasuk kebajikan rohani dan keagamaan.

Konsep Undang-Undang: Asuhan (Custody), Pemeliharaan Dan Kawalan (Care And Control) Dan Akses (Access)

Di bawah undang-undang, hak “asuhan” (custody) merujuk kepada hak untuk membuat keputusan utama berhubung dengan penjagaan kesihatan dan pendidikan anak (termasuk pendidikan agama). Pendekatan yang diambil oleh Mahkamah Syariah mengenai isu asuhan adalah sama dengan pendekatan yang diambil oleh mahkamah sivil: pasangan yang bercerai biasanya diberi hak asuhan besama (joint custody) melainkan jika dapat dibuktikan bahawa salah seorang dari mereka telah melakukan kekerasan terhadap anak itu atau telah menyalahlaku anak itu.

“Pemeliharaan dan kawalan” (care and control) merujuk kepada hak untuk membuat keputusan berkaitan dengan aktiviti seharian anak. Ibu atau bapa yang diberi hak pemeliharaan dan kawalan keatas anaknya akan tinggal bersama anak itu selepas perceraian.

“Akses” (access) merujuk kepada hak ibu atau bapa yang tidak mempunyai hak pemeliharaan dan kawalan anak untuk berjumpa dan bersama dengan anaknya. Sebagai contoh, ibu atau bapa tadi boleh diberikan akses semalaman kepada anaknya pada hujung minggu bersilangan untuk tempoh masa yang tetap, atau akses kepada anaknya pada hari cuti umum tertentu untuk tempoh masa yang tetap, atau akses kepada anakya bagi tempoh separuh cuti sekolah pertengahan tahun dan akhir tahun. Akses juga boleh berbentuk “akses munasabah” (reasonable access) tanpa dihadkan hari dan tempoh masa, bergantung kepada persetujuan bersama ibu dan bapa anak yang berkenaan.  Perintah akses mengambil banyak bentuk bergantung pada keadaan setiap kes.

Dalam membuat keputusannya mengenai isu-isu asuhan, pemeliharaan dan kawalan dan akses anak, Mahkamah akan mengambil kira peraturan-peraturan di bawah undang-undang Islam dan juga pertimbangan utama kebajikan dan kepentingan terbaik anak. Dalam kes-kes tertentu, Mahkamah boleh meminta laporan bertulis mengenai anak yang terlibat dari Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga atau agensi-agensi perkhidmatan sosial lain untuk membantu Mahkamah dalam proses membuat keputusan yang sering sukar ini.

Prinsip-Prinsip Panduan

Di dalam kes Mohd Fadly Bin Saaid lwn Raba’ah Binte Roszini (Rayuan No. 14/2010), Lembaga Rayuan telah menetapkan beberapa prinsip umum berkaitan isu penjagaan anak dalam perceraian pasangan Muslim:

  1. adalah prinsip utama undang-undang Islam yang ditadbirkan oleh AMLA bahawa dalam menentukan siapa di antara ibu dan bapa akan diberikan hak asuhan dan penjagaan dan kawalan anaknya apabila ibu dan bapa tadi bercerai, kepentingan anak itu adalah yang paling utama dan harus mengatasi semua kepentingan lain. Ini memerlukan penilaian objektif tentang apa yang terbaik untuk anak tersebut selepas mengambil kira semua fakta dan keadaan setiap kes, seperti usia anak itu dan keperluan sehariannya (sama ada makanan, pakaian, pendidikan atau keperluan perubatan);
  2. dalam memutuskan isu ini, Mahkamah tidak bertujuan untuk menentukan siapa di antara ibu dan bapa tadi yang lebih baik – tanpa mencari kesalahan, tanpa membahagi kesalahan dan tentunya tanpa membuat sebarang pengadilan siapa di antara mereka lebih menyayangi anaknya atau siapa yang boleh menjaga anak tersebut dengan lebih baik;
  3. idea bahawa seorang ibu atau bapa harus dianggap tidak mampu untuk melaksanakan tugasnya dan oleh itu patut hampir hilang dari muka bumi hanya kerana ada perceraian diantara mereka adalah tidak sihat dan harus ditolak secara tegas;
  4. semua pihak harus membantu Mahkamah dengan secara tenang dan bijak kemukakan semua fakta relevan dan material yang akan membolehkan Mahkamah membuat keputusan demi kepentingan terbaik anak yang terlibat;
  5. ibu atau bapa mungkin akan tidak bersetuju dengan keputusan Mahkamah tetapi jika dia benar-benar ingin bertindak demi kepentingan anaknya, dia mesti mematuhi keputusan itu sepenuhnya; dan
  6. amalan mempengaruhi seorang anak untuk menjauhkan diri daripada ibu atau bapanya harus dihentikan kerana menyemai kebencian dan rasa tidak suka dan memutuskan talian keluarga adalah tidak selaras dengan prinsip Islam menjaga sillaturrahim dan menyuruh orang lain berbuat baik.

Updated: 10.4.2020

Call Now Button
× How can I help you?