Adakah Batasan-Batasan Yang Dikenakan Ke Atas Wasiat Orang Islam Juga Digunapakai Untuk Nazar Dan Hibah?

Adakah Batasan-Batasan Yang Dikenakan Ke Atas Wasiat Orang Islam Juga Digunapakai Untuk Nazar Dan Hibah?

Di I.R.B. Law LLP, kita sering ditanya sama ada kedua-dua batasan utama yang dikenakan ke atas Wasiat seorang Muslim boleh dielak dengan menggunakan instrumen lain seperti Nazar atau Hibah.

Pertama, mari kita kenal pasti apakah batasan-batasan ini. Batasan pertama adalah: seorang Muslim tidak boleh membuat Wasiat untuk memberikan apa-apa daripada asetnya kepada warisnya sendiri. Batasan kedua adalah: seorang Muslim tidak boleh membuat Wasiat untuk memberikan lebih dari satu pertiga (1/3) asetnya.

Bolehkah Kita Mengelakkan Batasan-Batasan Tadi Dalam Nazar?

Nazar adalah sumpah di mana pemberi memberikan aset-asetnya kepada sesiapa sahaja yang dia pilih dan untuk apa pun jumlah yang dia kehendaki. Di dalam Nazar, pemberian sering dinyatakan berkuatkuasa 1 jam atau 3 jam sebelum kematian pemberi.

Pada tahun 2004, dalam kes Mohamed Ismail Bin Ibrahim lwn Mohd Taha Bin Ibrahim, Mahkamah Tinggi Singapura memutuskan bahawa Nazar adalah seumpama wasiat yang berkuatkuasa selepas kematian pemberi. Oleh itu, Nazar adalah tertakluk kepada batasan tiada pemberian boleh dibuat kepada waris pemberi. Oleh kerana Nazar dalam kes itu melanggar batasan tersebut, ia diputuskan sebagai tidak sah.

Mahkamah Tinggi juga mengesahkan bahawa batasan 1/3 juga terpakai kepada Nazar dibawah Seksyen 60(1) Administration of Muslim Law Act (Cap. 3) (AMLA). Seksyen 60(2) dan (3) AMLA meletakkan syarat-syarat lain yang mesti diikuti, yang mana jika gagal, Nazar akan dijadikan batal dan tidak sah.

Walau bagaimanapun, jika semua Waris pemberi mempersetujui pemberian yang dibuat dalam Nazar, maka Nazar itu boleh dilaksanakan tanpa mengira yang ia tidak sah di bawah AMLA.

Bolehkah Kita Mengelakkan Batasan-Batasan Tadi Dalam Hibah?

Hibah adalah hadiah (jika ia segera) atau janji hadiah (jika tidak segera). Seorang Muslim boleh, sepanjang hayatnya, memberikan apa-apa jumlah aset-asetnya kepada sesiapa saja yang dia kehendaki. Secara amnya, kedua-dua batasan tadi tidak terpakai kepada Hibah, dengan syarat Islam mengharuskan segala perbuatan atau tindakan seseorang (temasuk hadiah dan pemberiannya) harus berlandaskan prinsip-prinsip, ajaran atau nilai-nilai Islam.

Selanjutnya, aset-aset yang telah diberikan oleh seorang Muslim sepanjang hayatnya tidak menjadi sebahagian daripada harta pusakanya setelah kematiannya kerana pemilikan aset-aset itu telah berpindah darinya kepada penerima. Begitu juga aset-aset yang menjadi subjek janji hadiah yang telah dilaksanakan dan dipenuhi semasa hayat pemberi tidak menjadi sebahagian daripada harta pusaka pemberi setelah kematiannya.

Kedudukan janji hadiah yang belum dilaksanakan sepanjang hayat pemberi tidak begitu jelas. Seperti Nazar, janji hadiah seperti itu boleh dianggap sebagai pemberian yang berkuatkuasa selepas kematian pemberi yang, berdasarkan pertimbangan Mahkamah Tinggi dalam kes yang disebutkan di atas, batasan-batasan tadi akan terpakai. Walau   bagaimanapun, jika semua waris pemberi bersetuju dengan pemberian itu, maka janji hadiah itu dapat dilaksanakan dan dipenuhi.

Terdapat jenis Hibah yang ‘khusus’ yang dipanggil “Hibah Ruqbah” di mana pemberi membuat janji ini kepada penerima: “Harta ini adalah milikmu sebagai ruqba; jika kamu mati sebelum saya, harta ini menjadi milik saya dan jika saya mati sebelum kamu, harta   ini menjadi milik  kamu.” Istilah Arab “ruqbah” bermaksud menanti kematian orang yang lagi satu.

Para ulama Islam berbeza pendapat tentang kesahihan Hibah Ruqbah. Juga, seperti Nazar, Hibah Ruqbah boleh dianggap sebagai satu pemberian yang berkuatkuasa selepas kematian pemberi, dalam hal mana, ia tertakluk kepada batasan-batasan tadi.

Jika semua waris pemberi bersetuju dengan pemberian dalam Hibah Ruqbah, maka pemberian itu dapat dilaksanakan walaupun ia melanggar salah satu atau kedua-dua batasan tersebut.

Kesimpulan

Kedua-dua Nazar dan Hibah Ruqbah adalah ciptaan  manusia  (iaitu ianya tidak diperuntukan di dalam Al-Quran dan bukan dari hadith dan sunnah Nabi (saw)) dan para   ulama Islam tidak sebulat suara dalam pandangan mereka mengenai kesahihan atau sebaliknya instrumen-instrumen ini. Juga, isu sama ada batasan-batasan tadi terpakai kepada Hibah yang tidak terpenuhi (iaitu tidak dipenuhi sebelum kematian pemberi) dan kepada Hibah Ruqbah belum lagi ditentukan oleh mahkamah di Singapura.

Dalam keadaan ini, kami mengambil pandangan bahawa:

  1. Adalah jelas bahawa kita tidak boleh mengelakkan salah satu dari dua batasan tadi dengan menggunakan Nazar;
  2. Kedua-dua batasan tadi tidak terpakai kepada Hibah yang segera dan kepada Hibah tidak segera yang telah dilaksanakan dan dipenuhi semasa hayat pemberi; dan
  3. Kemungkinan, Hibah yang tidak dipenuhi semasa hayat pemberi dan juga Hibah  Ruqbah akan dianggap sebagai pemberian yang berkuatkuasa selepas kematian   pemberi. Oleh itu, kita mungkin tidak dapat mengelakkan salah satu dari kedua-dua   batasan itu dengan menggunakan Hibah (tidak segera) dan Hibah Ruqbah.

Updated: 16.4.2020

Call Now Button
× How can I help you?