Alasan Dan Kesan Perceraian Dalam Undang-undang Islam

Alasan Dan Kesan Perceraian Dalam Undang-undang Islam

Artikel ini membincangkan pelbagai alasan perceraian dan akibat pelbagai jenis perceraian mengikut undang-undang Islam.

Alasan Perceraian

Di bawah undang-undang Islam, sebuah perkahwinan boleh dibubarkan:

  1. Dengan lafaz talak oleh:
    1. suami melalui cerai khuluk; atau
    2. suami tanpa khuluk; atau
    3. isteri melalui talak tafweed; atau
    4. Penimbangtara (Hakam); atau
  2. Oleh Mahkamah setelah mendapati bahawa suami telah melanggar taklik perkahwinan; atau
  3. Oleh Mahkamah dengan membuat perintah pembatalan (fasakh); atau
  4. Oleh Mahkamah setelah mendapati perkahwinan itu tidak sah menurut undang-undang Islam.

Perceraian Melalui Pelafazan Talak Oleh Suami Atau Melalui Cara Khuluk

Seorang suami boleh memohon perceraian atau menyetujui permohonan perceraian isterinya dan selepas itu secara sukarela melafazkan talak: Seksyen 46(B) dan 47(3) Administration of Muslim Law Act (Cap.3) (AMLA).

Sebagai alternatif, suami dan isteri boleh bersetuju untuk bercerai secara khuluk seperti yang diperuntukkan di bawah Seksyen 47(4) AMLA. Perceraian seperti ini dilaksanakan dengan suami melafazkan talak selepas menerima bayaran sejumlah wang dari isteri.

Di Singapura, suami boleh melafazkan talak sebelum memulakan prosiding perceraian di Mahkamah.

Talak Tafweed

Talak tafweed tidak diperuntukkan secara khusus dalam AMLA tetapi ianya diterima sah di bawah undang-undang Islam. Talak tafweed dilaksanakan apabila isteri melafazkan talak keatas dirinya selepas menerima pewakilan lafaz talak dari suami. Dalam kes sebegini, talak dilafazkan oleh isteri dan bukan oleh suami.

Talak melalui Hakam

Seksyen 50 AMLA memperuntukkan pelantikan Penimbangtara (Hakam). Sekiranya suami tidak bersetuju dengan perceraian yang dipohon oleh isteri dan/atau bukti yang dibentangkan tidak menunjukkan bahawa suami telah melanggar mana-mana taklik perkahwinan dan/atau bukti yang dibentangkan tidak menunjukkan apa-apa alasan atas mana Mahkamah boleh membuat perintah fasakh, Mahkamah diberi kuasa untuk memerintahkan pelantikan seorang Hakam untuk suami dan seorang Hakam lagi untuk isteri. Jika Hakam tidak dapat mendamaikan pasangan suami-isteri tadi dan berpendapat bahawa mereka harus bercerai, Hakam boleh melaksanakan perceraian dengan melafazkan talak wajib. Dalam kes sebegini, talak dilafazkan oleh Hakam dan bukan oleh suami atau isteri.

Cerai Taklik

Cerai taklik diperuntukkan di bawah Seksyen 48 AMLA. Jika suami tidak bersetuju dengan perceraian yang dipohon oleh isteri, tetapi bukti yang dibentangkan oleh isteri menunjukkan yang suami telah melanggar taklik perkahwinan, Mahkamah boleh mengisytiharkan bahawa perceraian telah berlaku atas sebab pelanggaran taklik. Salah satu dari taklik tersebut adalah: jika seorang suami meninggalkan isterinya atau tidak memberikan nafkah kepada isterinya untuk tempoh berterusan selama 4 bulan atau lebih, Mahkamah boleh mengisytiharkan perceraian di antara suami dan isteri tadi.

Fasakh

Seksyen 49 AMLA menyenaraikan beberapa keadaan atau situasi di atas mana Mahkamah boleh memerintahkan pembatalan perkahwinan atau fasakh, sebagai contoh, apabila suami dihukum penjara selama tempoh 3 tahun atau lebih, atau jika suami mati pucuk pada masa perkahwinan dan keadaannya berterusan selepas perkahwinan, atau apabila suami melayani isterinya dengan kekejaman.  Mahkamah boleh memerintahkan fasakh hanya selepas mendengar dan menerima bukti daripada isteri dan sekurang-kurangnya 2 orang saksi

Ketidaksahan Perkahwinan

Akhirnya, semua perkahwinan Muslim mesti memenuhi dan mematuhi peraturan tertentu munakahat (hukum perkahwinan Islam). Mahkamah boleh memansuhkan sebuah perkahwinan yang telah melanggar peraturan tersebut dan oleh itu adalah tidak sah di bawah undang-undang Islam.

Kesan-kesan Perceraian

  1. Di bawah undang-undang Islam, perceraian pertama di antara suami dan isteri disebut sebagai “talak raj’ie”. Ini bermakna suami boleh berdamai (rujuk) dengan isteri dalam tempoh “menunggu” 3 bulan selepas perceraian (tempoh iddah) tanpa perlu untuk mereka menjalani upacara nikah. Dalam kes sedemikian, suami dikatakan telah “menarik balik” perceraian itu. Suami dan isteri juga boleh merujuk jika mereka bercerai buat kali ke-2. Seksyen 102 dan 107 AMLA menerangkan proses dan syarat pendaftaran rujuk. Selepas tempoh iddah, suami dan isteri tidak dibenarkan untuk rujuk tetapi boleh bernikah semula.
  2. Jika suami dan isteri bercerai buat kali ke-3, perceraian itu dikenali di bawah undang-undang Islam sebagai “talak ba’in kubra”. Ini bermakna suami dan isteri tidak boleh rujuk atau bernikah lagi. Suami dibenarkan bernikah semula dengan bekas isteri hanya selepas bekas isteri menikahi lelaki lain dan kemudiannya mereka bercerai selepas bersatu.
  3. Juga, suami dan isteri yang telah diceraikan melalui talak wajib oleh Hakam atau atas perintah fasakh atau secara khuluk tidak diberkan rujuk. Mereka hanya boleh bernikah semula.
  4. Seorang suami juga boleh menceraikan isterinya buat kali pertama dengan menyebut “talak tiga”, misalnya dengan mengatakan: “Saya ceraikan isteri saya dengan tiga talak”. Perceraian ini adalah talak ba’in kubra.

Updated: 12.4.2020

Call Now Button
× How can I help you?