Gambaran Keseluruhan Prosiding Perceraian Dalam Mahkamah Syariah

Gambaran Keseluruhan Prosiding Perceraian Dalam Mahkamah Syariah

Artikel berikut menggambarkan ciri-ciri utama prosiding perceraian di Mahkamah Syariah.

Pengenalan

Prosiding perceraian di Mahkamah Syariah agak berbeza dari prosiding perceraian di Mahkamah Keluarga. Terdapat beberapa perkara yang perlu diambil perhatian dan peraturan tatacara tertentu yang perlu dipatuhi untuk memastikan bahawa kes anda berjalan lancar dan berakhir dalam masa yang sesingkat mungkin dengan hasil yang diingini.

Undang-undang utama bagi prosiding perceraian di Mahkamah Syariah ada terdapat di dalam Administration of Muslim Law Act (Cap. 3) (AMLA). Selain dari AMLA, Muslim Marriage and Divorce Rules (MMDR) menetapkan pelbagai proses dan prosedur yang berkaitan. Akhir sekali, Syariah Court Practice Directions 2018 (SCPD) mengandungi borang-borang yang digunakan dalam prosiding perceraian di Mahkamah Syariah. Anda boleh merujuk kepada AMLA, MMDR dan SCPD di laman web “Attorney General’s Chambers Singapore Statutes Online” di: https://sso.agc.gov.sg.

Dalam membuat keputusan atas pelbagai isu yang lazimnya timbul dalam prosiding perceraian yang dibawa ke hadapannya – talak, nafkah iddah, mutaah, hak penjagaan kanak-kanak, dan lainnya – Mahkamah Syariah menggunapakai undang-undang Islam (juga dikenali sebagai undang-undang Syariah) serta juga (di mana terpakai) adat Melayu. Sumber hukum Islam yang diakui adalah Kitab Suci Al-Quran, hadith dan sunnah Nabi (saw) dan pendapat majoriti ulama-ulama Islam. AMLA sendiri mengandungi beberapa peruntukan yang menangani beberapa isu-isu ini. Isu-isu yang biasanya timbul dalam prosiding perceraian di Mahkamah Syariah dibincangkan dalam artikel “Isu dan Tuntutan Tipikal Dalam Prosiding Perceraian Di Mahkamah Syariah“.

Pendaftaran Dan Kaunseling Mandatori

Seorang suami atau isteri yang ingin memohon perceraian di Mahkamah Syariah hendaklah terlebih dahulu memfailkan Borang Pendaftaran. Borang ini boleh dimuat turun dari laman web Mahkamah Syariah.

Setelah Mahkamah Syariah menerima dan memproses Borang Pendaftaran, kedua-dua suami dan isteri akan dihubungi oleh salah satu agensi kaunseling yang diluluskan untuk mereka menjalani kaunseling mandatori. Berikut adalah beberapa agensi kaunseling yang diluluskan: Pusat Perkhidmatan Keluarga PPIS (Barat) (65613462), Pusat Kaunseling Jamiyah (67431211), Persatuan Profesional Islam (64163960) dan Talian Bantuan Negara (Pusat Perkhidmatan Keluarga) (1800 222 0000).

Sekiranya anda pasangan yang telah memfailkan Borang Pendaftaran (Pendaftar) gagal menghadiri kaunseling mandatori, kes anda mungkin ditutup dan anda tidak akan dapat kemudiannya memulakan prosiding perceraian di Mahkamah Syariah.

Permulaan Prosiding Perceraian Dalam Mahkamah Syariah

Objektif utama skema kaunseling mandatori adalah untuk membantu pasangan suami isteri berdamai dan untuk menyelamatkan perkahwinan mereka. Jika perkahwinan itu tidak dapat diselamatkan, skema kaunseling mandatori juga berfungsi sebagai platform untuk pasangan tadi berbincang, datang ke satu pemahaman, dan (jika mungkin) mencapai persetujuan mengenai isu jagaan anak-anak mereka, jika ada.

Jika pasangan tadi tidak boleh didamaikan, maka Pendaftar mempunyai 6 bulan dari tarikh sesi kaunseling terakhir untuk memulakan prosiding perceraian di Mahkamah Syariah. Sekiranya tarikh akhir dilanggar, maka Borang Pendaftaran yang baru mestilah difailkan.

Prosiding perceraian di Mahkamah Syariah dimulakan oleh suami atau isteri (dipanggil Plaintif) memfailkan “Case Statement” (Borang 7 untuk Suami atau Borang 8 untuk Isteri) (CS), “Plaintiff’s Proposed Parenting Plan” (Borang 12) (PPPP) dan “Plainiff’s Proposed Matrimonial Property Plan” (Borang 15) (PPMPP) . PPPP tidak perlu difailkan jika tiada kanak-kanak kecil (anak-anak di bawah umur 21 tahun) dan PPMPP tidak perlu difailkan jika rumah suami-isteri bukan flat HDB. Maklumat tambahan mengenai rumah suami-isteri juga perlu difailkan menerusi borang “Particulars of Housing Arrangement” (Borang 14) (PHA).

Di dalam CS, Plaintif dikehendaki menyatakan, antara lain, alasan-alasan permohonan perceraian dan kedudukannya mengenai isu-isu nafkah iddah, mutaah, pembahagian harta sepencarian, dan lain-lain. PPPP mengandungi cadangan Plaintif mengenai penjagaan, pemeliharaan dan kawalan dan akses anak-anak. PPMPP menetapkan cadangan Plaintif mengenai pelupusan dan pembahagian rumah suami-isteri.

Terdapat beberapa dokumen untuk dilampirkan kepada CS, PPPP dan PPMPP. Anda dinasihatkan untuk merujuk kepada laman web Mahkamah Syariah dan mematuhi “Checklist for Plaintiff”.

Sejumlah 3 set dokumen yang setiap satu set terdiri daripada CS, PPPP, PPMPP dan PHA (yang asal dan 2 salinan) mesti difailkan. Mahkamah Syariah akan menyimpan set asal dan mengembalikan 2 salinan kepada Plaintif, salah satunya adalah untuk diserahkan kepada pasangan yang lain (dipanggil Defendan). Mahkamah Syariah juga akan mengeluarkan “Court Attendance Notice” untuk Plaintif dan Defendan menghadiri “Mediation” pada tarikh dan masa tertentu.

Tindakbalas oleh Defendan

Apabila menerima CS dan dokumen-dokumen lain dari Plaintif, Defendan dikehendaki memfailkan “Memorandum of Defence” (Borang 17 untuk Suami atau Borang 18 untuk Isteri) (MOD), “Defendant’s Proposed Parenting Plan” (Borang 21) (DPPP) dan Defendant’s Proposed Matrimonial Property Plan” (Borang 23) (DPMPP). Maklumat tambahan mengenai rumah suami-isteri mesti difailkan melalui PHA.

Jika Defendan bersetuju dengan PPPP maka dia perlu memfailkan “Defendant’s Agreement to the Plaintiff’s Parenting Plan” (Borang 20) (DAPPP). Begitu juga, jika Defendan bersetuju dengan PPMPP maka dia perlu memfailkan “Defendant’s Agreement to the Plaintiff’s Matrimonial Property Plan” (Borang 22) (DAPMPP).

Di dalam MOD, Defendan dikehendaki menyatakan, antara lain, respons beliau terhadap alasan-alasan permohonan perceraian Plaintif dan terhadap isu-isu nafkah iddah, mutaah, pembahagian harta sepencarian, dan lain-lain. DPPP mengandungi cadangan Defendan mengenai penjagaan, pemeliharaan dan kawalan dan akses anak-anak. DPMPP membentangkan cadangan Defendan tentang pelupusan dan pembahagian rumah suami-isteri.

Terdapat beberapa dokumen untuk dilampirkan kepada MOD, DPPP/DAPPP dan DPMPP/DAPMPP. Anda dinasihatkan untuk merujuk kepada laman web Mahkamah Syariah dan mematuhi “Checklist for Defendant”.

Sejumlah 3 set dokumen yang setiap satu set terdiri daripada MOD, DPPP/DAPPP, DPMPP/DAPMPP dan PHA (yang asal dan 2 salinan) mesti difailkan. Mahkamah Syariah akan menyimpan set asal dan mengembalikan 2 salinan kepada Defendan, salah satunya adalah untuk diserahkan kepada Plaintif. Defendan dikehendaki memfailkan dan menyerahkan kepada Plaintif 1 set dokumen-dokumen ini dalam tempoh 21 hari dari penerimaan dokumen-dokumen dari Plaintif seperti yang disebut di atas.

Jika rumah suami-isteri berbentuk flat HDB, untuk Plaintif, bundel tadi hendaklah termasuk borang “Returned HDB Standard Query Form” (RHSQF) dan borang “Returned Housing Guidance Form” (RHGF). Defendan pula perlu memfailkan RHGF sahaja. Walau bagaimanapun, jika pasangan tadi tidak mempunyai anak kecil, RHGF tidak perlu difailkan oleh mereka. Kedua-dua borang RHSQF dan RHGF boleh dimuat turun dari laman web Mahkamah Syariah.

Pengantaraan

Peranan Pengantara adalah untuk memudahkan penyelesaian semua isu antara Plaintif dan Defendan. Pasangan tadi mungkin dikehendaki menghadiri beberapa sesi Pengantaraan untuk mencapai penyelesaian penuh. Plaintif dan Defendan akan menghadiri sesi Pengantaraan dengan peguam masing-masing (jika ada).

Jika terdapat satu penyelesaian, syarat-syarat atau terma penyelesaian itu akan direkodkan oleh Pengantara berbentuk Draf Keputusan Mahkamah/Perintah Mahkamah. Plaintif dan Defendan kemudiannya akan hadir di hadapan hakim (dipanggil Presiden). Suami kemudian akan melafazkan talak di hadapan Presiden jika dia belum melakukannya sebelumnya. Presiden akan kemudiannya mengesahkan perceraian dan semua syarat-syarat dan terma penyelesaian bersama Plaintif dan Defendan. Prosiding perceraian berakhir di sini.

Persidangan Pra-Perbicaraan

Sekiranya tiada penyelesaian di sesi Pengantaraan, Plaintif dan Defendan akan dikehendaki menghadiri beberapa sesi “Pre-Trial Conference” (PTC) sepanjang beberapa bulan selanjutnya. Di PTC ini, Pendaftar Mahkamah Syariah akan memberi arahan untuk afidavit dan mungkin dokumen-dokumen lain untuk difailkan dan untuk perkara-perkara lain dilakukan untuk menyediakan kes bagi perbicaraan.

Perbicaraan

Pada sesi perbicaraan, Presiden akan mendengar hujah-hujah oleh Plaintif dan Defendan atau peguam mereka mengenai pelbagai isu yang timbul. Pada masa ini, Presiden telah pun membaca semua dokumen dan afidavit yang difailkan oleh kedua belah pihak. Keterangan lisan jarang diperdengarkan semasa perbicaraan kecuali kes itu adalah kes pelanggaran taklik atau kes fasakh. Untuk penjelasan mengenai istilah-istilah ini dan lain-lain yang berkaitan, rujuk kepada artikel “Alasan Dan Kesan Perceraian Dalam Undang Undang Islam“.

Suami mungkin dikehendaki melafazkan talak pada sesi perbicaraan jika dia belum berbuat demikian sebelumnya.

Pada hujung sesi perbicaraan, Presiden akan membuat keputusannya mengenai isu-isu yang timbul dan akan mengumumkannya di mahkamah terbuka di hadapan Plaintif dan Defendan.

Pelantikan Hakam (Penimbangtara)

Presiden boleh, atas kehendaknya sendiri atau atas permohonan daripada Plaintif dan/atau Defendan, memerintahkan pelantikan seorang Hakam bagi setiap pihak. Pelantikan Hakam biasanya berlaku apabila suami enggan melafazkan talak dan di mana bukti yang dibentangkan oleh isteri tidak menimbulkan apa-apa alasan atau asas yang membolehkan satu perceraian diputuskan (pelanggaran taklik, fasakh, dan lain-lain).

Peranan seorang Hakam adalah untuk memudahkan suatu perdamaian antara Plaintif dan Defendan, dan jika perdamaian tidak berlaku, Hakam berperanan untuk memudahkan pembubaran perkahwinan pasangan tadi melalui pelafazan talak oleh suami, atau melalui khuluk atau melalui talak tafweed. Jika tiada satu pun kaedah pembubaran perkahwinan tadi dapat digunakan atau dipakai, Hakam mungkin dengan sendirinya akan melafazkan talak yang lebih dikenali sebagai “talak wajib”.

Apabila perkahwinan telah dibubarkan, isu-isu lain akan ditangani dan diputuskan oleh Presiden.

Rayuan

Sekiranya Plaintif atau Defendan tidak berpuas hati dengan apa-apa keputusan Presiden mengenai mana-mana isu, dia boleh merayu terhadap keputusan itu dengan memfailkan “Notice of Appeal” (Borang 53) dengan Lembaga Rayuan dalam tempoh 30 hari dari tarikh keputusan.

Rayuan tadi akan didengari oleh 3 orang hakim dan perbicaraan rayuan akan diadakan di Majlis Ugama Islam Singapura.

Tiada hak rayuan lanjut.

Pengambilan Keputusan Mahkamah/Perintah Mahkamah dan Sijil Perceraian

Setelah berakhirnya prosiding perceraian, Plaintif dan Defendan akan diberitahu bila mereka dapat mengambil Keputusan Mahkamah/Perintah Mahkamah dan Sijil Perceraian. Biasanya, Keputusan Mahkamah/Perintah Mahkamah boleh diambil di Mahkamah Syariah dalam masa 1 hingga 2 minggu. Sijil Perceraian biasanya akan siap selepas 3 bulan dari tarikh perbicaraan jika perceraian itu berbentuk perceraian talak raji’e.

Untuk mendapatkan pemahaman yang lebih baik mengenai prosiding perceraian di Mahkamah Syariah, anda juga dinasihatkan supaya membaca artikel, “Prosiding Perceraian Di Mahkamah Syariah“.

Updated: 28.4.2020

Call Now Button
× How can I help you?